BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

January 14, 2010

Obama akui gagal satukan rakyat AS

Dipetik dari:RENCANA UTAMA KOSMO! 15.01.10


Barack Obama


WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama dalam satu wawancara mengakui bahawa beliau gagal menyatupadukan rakyat seperti yang diharapkan sebelum ini.

Ketika diwawancara oleh majalah People pada 8 Januari lepas, Obama yang ditanya berhubung kelemahan yang mahu diperbetulkannya berkata, beliau mahu memupuk semangat bersatu padu lebih jitu di kalangan rakyat AS.

"Apa yang saya belum berjaya lakukan ialah menjadikan rakyat negara ini lebih bersatu seperti yang berlaku sewaktu upacara angkat sumpah," katanya.

Obama merujuk pada senario 20 Januari tahun lepas apabila beratus-ratus ribu orang membanjiri ibu negara AS, Washington untuk menyaksikan majlis angkat sumpahnya sebagai Presiden.

Sementara itu, beberapa keputusan tinjauan pendapat mendapati rakyat AS berbeza pendapat mengenai prestasi Obama setelah setahun beliau mentadbir negara.

Keputusan tinjauan pendapat terbaru oleh stesen penyiaran CBS minggu ini menyatakan cuma 46 peratus rakyat AS berpuas hati dengan prestasi Obama.

Peratusan rendah itu disebabkan semakin ramai penduduk tidak berpuas hati dengan cara beliau menangani isu ekonomi dan hal ehwal penjagaan kesihatan.

Bagaimanapun, presiden itu berkata, beliau sudah menjangkakan keadaan tersebut akan berlaku.

"Pada hari pertama saya mengangkat sumpah, kita sedar kita akan kehilangan 650,000 pekerjaan dalam bulan Disember, 700,000 pekerjaan lagi pada Januari dan 650,000 pekerjaan sepanjang Mac depan.

"Tidak hairanlah kenapa orang ramai agak kecewa dan tertekan pada tahun ini," katanya. - Reuters

0 comments: